Kamis, 31 Mei 2012

Biografi Imam Bukhari (wafat 256 H)

 
       Nama lengkap beliau Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Mughitah bin Bardizbah Al-Jufri Al-Bukhari. Lahir tahun 194H. di Bukhara Asia Tengah. Sedari kecil beliau sudah menghafal Al-Qur’an di luar kepala dan sangat menyukai mencari dan mendengar Hadits-hadits Nabi. Kemudian selama 16 tahun beliau menyusun dan mengarang kitab sohihnya yang berjudul kitab “Sohih Al-Bukhari”.  
Beliau selalu mengedar ke daerah-daerah dan kota-kota negeri Islam ketika itu. Beliau belajar Hadits di negerinya dan kemudian pergi ke Balkha, ke Marwa, ke Nisabur, ke Rai, ke Basrah, ke Kufah, ke Makkah, ke Madinah, ke Mesir, ke Damaskus, ke Asqalan dan lain-lain.
Perjalanan beliau ini adalah dalam rangka mencari ulama’-ulama’ yang menyimpan hadits dalam dadanya untuk dituliskannya di dalam kitab yang ketika itu sangat kurang sekali. Kitab Sohih Bukhari itu adalah kitab agama Islam yang kedua sesudah Al-Qur’an. Hadits-hadits di dalamnya menjadi sumber hukum yang kuat dalam fiqih (hukum) Islam.
Pada mulanya beliau sampai menghafal hadits sebanyak 600,000 hadits yang diambilnya dari 1,080 orang guru, tetapi kemudian setelah disaring dan disaringnya lagi, maka yang dituliskannya dalam kitab Sohih Bukhari hanya 7,275 hadits. Kalau disatukan hadits yang berulang-ulang disebutnya dalam kitab itu, jadinya berjumlah 4,000 hadits yang kesemuanya hadits sohih dan diterima oleh seluruh dunia Islam, terkecuali oleh orang yang buta mata hatinya.
Di antara guru beliau dalam fiqih Syafi’i adalah Imam Al-Humaidi , sahabat Imam Syafi’i yang belajar fiqih daripada Imam Syafi’i  ketika berada di Makkah Mukarramah. Juga beliau belajar fiqih dan Hadits daripada Za’farani, Abu Thur dan Al-Karabisi  [1], ketiganya adalah murid Imam Syafi’i. Demikianlah diterangkan oleh Imam Abu ‘Asim Al-Abbadi   dalam kitab “Tobaqat”nya.
Beliau tidak banyak membicarakan soal fiqih, tetapi hampir semua pekerjaan beliau berkisar kepada hadits-hadits saja yang tidakmengambil hukum dari hadits-hadits itu.  Ini suatu bukti bahawa beliau bukan Imam Mujtahid, tetapi ahlihadits yang di dalam furu’ Syari’at beliau menganut Mazhab Syafi’i. Di dalam kitab “Faidhu Qadir” syarah Jamius Saghir pada juzu’I halaman 24 diterangkan bahawa Imam Bukhari   mengambil fiqih daripada Al-Humaidi  dan sahabat Imam Syafi’i yang lain.
Imam Bukhari tidak mengambil hadits daripada Imam Syafi’i kerana beliau meninggal dalam usia muda, tetapi Imam Bukhari belajar dan mengambil hadits daripada murid-murid Imam Syafi’i. Tetapi sesungguhnya begitu, di dalam kitab Sohih Bukhari ada dua kali Imam Syafi’i disebut, iaitu pada bab Rikaz yang lima dalam kitab Zakat dan pada bab Tafsir ‘Araya dalam kitab Buyu’. (Lihat Fathul Bari juzu’ IV, halaman 106 dan pada juzu’ V halaman 295).

Sumber : SEJARAH DAN KEAGUNGAN MAZHAB SYAFI’I, Oleh: K.H Sirajuddin Abbas



Template by:
Free Blog Templates